Monday 12 November 2012

MAKANAN YANG BOLEH KURANGKAN KOLESTEROL Kolesterol ialah bahan berlemak (lipid) yang merupakan sebahagian daripada membran luar sel dalam badan haiwan. Ia juga ditemui dalam edaran darah Manusia. Dua sumber utama kolesterol dalam darah diperoleh daripada pemakanan dan pengeluaran hati. Kolesterol pemakanan datang daripada daging, ayam, ikan dan produk tenusu. Selepas makan, kolesterol diserap oleh usus ke dalam peredaran darah dan diselaputi oleh protein. Kolesterol bersalut protein ni dipanggil “chylomicron”. Hati mampu menyingkirkan kolesterol daripada peredaran darah dan juga menghasilkan kolesterol serta merembeskan kolesterol ke dalam peredaran darah. Selepas makan, hati mengeluarkan “chylomicron” daripada peredaran darah. Di antara waktu makan, hati menghasilkan dan merembeskan kolesterol kembali ke dalam peredaran darah. Kolesterol tidak boleh larut dalam darah kecuali jika ia bergabung dengan protein khas yang dipanggil lipoprotein. Kolesterol yang dirembeskan oleh hati ke dalam darah boleh bergabung dengan lipoprotein ketumpatan amat rendah (VLDL) atau lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL). Kolesterol LDL yang terhasil daripada metabolisme kolesterol VLDL dalam aliran darah, dikenali sebagai kolesterol ‘jahat’ manakala kolesterol HDL dikenali sebagai kolesterol baik. Kolestrol penyebab serangan jantung Seseorang individu terdedah kepada serangan jantung apabila dia mempunyai kolesterol LDL yang lebih tinggi daripada kolesterol HDL. Lipoprotein LDL menyebabkan kolesterol melekat pada dinding arteri, menyebabkan pembentukan bahan keras dan tebal yang dipanggil plak kolesterol. Lama-kelamaan, plak kolesterol menyebabkan dinding arteri menebal dan saluran arteri semakin sempit, satu proses yang dipanggil “atherosclerosis”. Arteri koronari membekalkan darah dan oksigen kepada otot jantung. Bila arteri koronari menyempit disebabkan “atherosclerosis”, ia tidak mampu membekalkan darah dan oksigen secukupnya kepada otot jantung. Kekurangan oksigen ke otot jantung menyebabkan dada sakit, juga ketulan darah dalam arteri yang menyebabkan saluran itu tersumbat dan membawa kepada kematian otot jantung (serangan jantung). Zarah kolesterol HDL menghalang proses “atherosclerosis” dengan menarik kolesterol daripada dinding arteri dan menyingkirkannya melalui hati, untuk dibuang menerusi hempedu. Ia juga mengganggu pengumpulan kolesterol pada dinding arteri oleh zarah kolesterol LDL. 1. Kacang Soya - mengandungi 48 peratus protein, lesitin, vitamin dan zat galian - mampu menghindari penyakit jantung dan kencing manis - kandungan kalsium dan mineral membantu memecah lemak sambil menyusutkan kadar lemak jahat atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan meningkatkan kadar lemak baik atau lipoprotein ketumpatan tinggi 2. Kuaci - kaya dengan kandungan zat besi - amalkan makan kuaci jenis tawar seperti biji labu atau bunga matahari untuk menamba zat besi sambil mengurangkan kolesterol 3. Buah kering - buah kurma kaya dengan serat dan kandungan flavanoid - mampu menyingkirkan lebihan lemak LDL dan mengurangkan risiko penyakit jantung - flavanoid juga terdapat dalam the, brokoli, tomato, bawang dan buah delima 4. Epal - makan sebiji epal atau jusnya setiap hari dapat mengurangkan kolesterol dalam badan - memakan makanan segera dan kemudiannya makan epal atau jusnya dapat mengimbangi kandungan zat dan mencegah pembentukan lemak 5. Ikan Tuna - sumber asid omega-3 selain salmon dan sardin - melindungi tubuh daripada peningkatan kadar kolesterol LDL 6. Kacang tanah - kacang tanah yang dipanggang mengandungi lemak sihat dan kaya vitamin E - Vitamin E dapat membantu menghalang radikal bebas daripada merosakkan kandungan HDL dan dapat mengelak daripada serangan jantung 7. Buah Mangga - kaya vitamin C - vitamin C berupaya mencegah LDL dalam badan - selain buah mangga buah lain ialah belimbing, kedondong, betik, rambutan, strawberi dan kiwi 8. Kismis - mengandungi sebatian yang mampu menurunkan kolesterol - amalan diet 400 kalori kismis setiap hari boleh menrunkan kadar kolesterol dalam darah sebanyak 8 peratus 9. Jambu batu - disyorkan makan buah jambu batu dalam jumlah 400 gram atau sebiji sehari selama empat minggu - dapat menurunkan paras kolesterol sebanyak 18.8 peratus dan baik untuk wanita yang ingin menurunkan berat badan. 10. Cordycep Sejenis kulat yang terdapat di Negara yang beriklim sejuk dan bersalji atau di pergunungan yang sejuk. Ia juga dikenali sebagai “ winter worm summer grass” Popular dalam ilmu ubatan Cina. Makan setiap hari 5gram dalam bentuk mentah atau dibuat jus. Dipercayai dapat menguatkan fungsi buah pinggang, disamping mencergaskan organ pernafasan ia juga boleh menurunkan paras kolesterol dan lemak.

Tuesday 17 July 2012

Mantai dan memegang puasa

Bagi masyarakat bukan berasal dari Negeri Sembilan, perkataan diatas mungkin kedengaran agak asing, tapi sejak kebelakangan ini telah ada usaha dari kepimpinan Negeri ini untuk mempopularkan aktiviti ini semula. Mantai bukan sahaja ketika nak menyambut hari raya malah turut diadakan ketika hendak menyambut Ramadan. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan mantai ni diistilahkan sebagai makan besar bagi menyambut peristiwa besar seperti puasa dan hari raya. Bagi pemilik kerbau atau pun lembu, menyembelih binatang ternakan ini pada hari Mantai dan menjualnya di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai. Bagi orang ramai inilah masanya untuk membeli dan menikmati daging segar dengan mempelbagaikan masakanya seperti membuat rendang dan sebagainya . Namun juadah paling popular semasa sambutan ini ialah sup tulang. Kalau betul-betul berhajat kepada tulang hendaklah keluar membeli sewaktu awal-awal lagi atau dengan membuat tempahan dahulu. Kalau terlewat, alamat kempunanlah. Membeli daging ketika hari mantai sudah menjadi kemestian, ia juga melambangkan status kemakmuran sesuatu keluarga, malah jika tidak membelinya keluarga tersebut dipandang “sengkek” . Macam manapun daging mesti ada, tak jadi jika diganti dengan ayam, lainlah keluarga tersebut memang tak makan daging. Walaupun masyarakat kita hari ini agak mewah yang mana daging bukanlah menu istimewa lagi, kerana boleh menikmatinya pada bila-bila masa , namun ketika hari mantai ia tetap menjadi pilihan dan amat laris sekali. Hari mantai juga biasanya diserikan dengan memasak lemang atau ketupat, pergilah ke mana-mana kampung di pendalaman pasti senario orang membakar lemang menjadi pemandangan biasa. Oleh kerana penulis tidak lagi tinggal di kampung tradisi, penulis tidak pasti samada amalan berkunjung ke rumah jiran dan saudara mara pada malam memegang puasa masih lagi diamalkan oleh masyarakat di Pendalaman. Mengimbau zaman kanak-kanak penulis ketika berkunjung ke rumah-rumah jiran ketika malam memegang puasa adalah unik, rendang dan lemang menjadi hidangan, meriah juga cuma kurang sedikit meriahnya dari malam raya, kerana ketiadaan kuih-muih. Ketika di usia kanak-kanak tidak dapat diselami perasaan tuan rumah samada ikhlas atau pun tidak. Tapi setelah dewasa penulis menerima hakikat bahawa masyarakat kita memang ikhlas, kerana bersedekah kepada kanak-kanak itu amalan mulia. Mantai dan memegang puasa ketika menyambut Ramadan nampaknya akan terus dipraktikkan oleh masyarakat kita dan boleh dikategorikan sebagai budaya makan ramadan.

Sunday 8 July 2012

pentasdunia: BUDAYA MAKAN RAMADHAN

BUDAYA MAKAN RAMADHAN Tinggal beberapa hari sahaja lagi RAMADHAN akan menjelma, bulan yang berkat mengandungi Rahmat yang tak ternilai banyaknya. Lebih gembira lagi tiap amalan yang baik akan dilipat gandakan pahalanya. Bagi golongan beriman kedatangannya amat dinanti-nantikan, tibalah masanya diri diuji, betapa kental imannya melawan hawa nafsu lahiriah maupun rohaniah. Nilailah diri kita dimana letaknya darjah ketakwaan yang dijelmakan melalui amalan puasa, puasa orang awamkah kita atau dah sampai tahap puasa para wali dan para nabi. Diri kita, kita yang tentukannya, kita yang berusaha dan disamping jangan lupa berdoa agar Allah memelihara dan menerima Ibadat kita itu. Perkataan puasa itu sendiri maksudnya amat suci, ya menahan diri dari lapar dan dahaga dan membelenggu hawa nafsu dari melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Pendek kata semua pancaindera perlu dijaga mata,telinga, tangan, kaki,lidah dan lain-lain, paling sukar ialah menjaga hati supaya tidak berfikir kearah perkara-perkara negatif. Penulis bukanlah seorang Ustaz atau ilmuan agama, hanya sekadar insan biasa cuma disini ingin berkongsi maklumat tentang amalan pemakanan orang kita khususnya di bulan Ramadhan ringkasnya BUDAYA MAKAN RAMADHAN dari perspektif orang Malaysia. Cukup sekadar intro, penulis akan cuba muncul diruang maya ini pada setiap hari Ahad jika masa mengizinkan, InsyaAllah!