Tuesday 17 July 2012

Mantai dan memegang puasa

Bagi masyarakat bukan berasal dari Negeri Sembilan, perkataan diatas mungkin kedengaran agak asing, tapi sejak kebelakangan ini telah ada usaha dari kepimpinan Negeri ini untuk mempopularkan aktiviti ini semula. Mantai bukan sahaja ketika nak menyambut hari raya malah turut diadakan ketika hendak menyambut Ramadan. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan mantai ni diistilahkan sebagai makan besar bagi menyambut peristiwa besar seperti puasa dan hari raya. Bagi pemilik kerbau atau pun lembu, menyembelih binatang ternakan ini pada hari Mantai dan menjualnya di tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai. Bagi orang ramai inilah masanya untuk membeli dan menikmati daging segar dengan mempelbagaikan masakanya seperti membuat rendang dan sebagainya . Namun juadah paling popular semasa sambutan ini ialah sup tulang. Kalau betul-betul berhajat kepada tulang hendaklah keluar membeli sewaktu awal-awal lagi atau dengan membuat tempahan dahulu. Kalau terlewat, alamat kempunanlah. Membeli daging ketika hari mantai sudah menjadi kemestian, ia juga melambangkan status kemakmuran sesuatu keluarga, malah jika tidak membelinya keluarga tersebut dipandang “sengkek” . Macam manapun daging mesti ada, tak jadi jika diganti dengan ayam, lainlah keluarga tersebut memang tak makan daging. Walaupun masyarakat kita hari ini agak mewah yang mana daging bukanlah menu istimewa lagi, kerana boleh menikmatinya pada bila-bila masa , namun ketika hari mantai ia tetap menjadi pilihan dan amat laris sekali. Hari mantai juga biasanya diserikan dengan memasak lemang atau ketupat, pergilah ke mana-mana kampung di pendalaman pasti senario orang membakar lemang menjadi pemandangan biasa. Oleh kerana penulis tidak lagi tinggal di kampung tradisi, penulis tidak pasti samada amalan berkunjung ke rumah jiran dan saudara mara pada malam memegang puasa masih lagi diamalkan oleh masyarakat di Pendalaman. Mengimbau zaman kanak-kanak penulis ketika berkunjung ke rumah-rumah jiran ketika malam memegang puasa adalah unik, rendang dan lemang menjadi hidangan, meriah juga cuma kurang sedikit meriahnya dari malam raya, kerana ketiadaan kuih-muih. Ketika di usia kanak-kanak tidak dapat diselami perasaan tuan rumah samada ikhlas atau pun tidak. Tapi setelah dewasa penulis menerima hakikat bahawa masyarakat kita memang ikhlas, kerana bersedekah kepada kanak-kanak itu amalan mulia. Mantai dan memegang puasa ketika menyambut Ramadan nampaknya akan terus dipraktikkan oleh masyarakat kita dan boleh dikategorikan sebagai budaya makan ramadan.

No comments:

Post a Comment